TV9 merupakan salah satu daripada empat stesen percuma (free-to-air) milik syarikat media terbesar di Negara ini, iaitu Media Prima Berhad. Stesen ini telah menemui penonton pada 22 April 2006.
Stesen ini unik kerana sasarannya ialah kepada penonton Melayu/Islam yang muda, canggih, progresif dan berfikiran jauh atau dengan kata lain, Program-program yang ditawarkan adalah pelbagai dan memberi pilihan kepada generasi muda untuk berinteraksi, mendapat maklumat dan berhibur.
Kelainan gaya dan pendekatan TV9 menjadikannya stesen TV yang kedua popular di Malaysia. Dalam menampilkan kehidupan moden tetapi progresif, nilai keagamaan yang kuat dan tradisi seni budaya yang berkualiti, TV9 menjadi pilihan generasi moden.
Ini dapat diterjemahkan menerusi penampilan program-program yang lebih segar mengikut penjenamaan yang disediakan iaitu hiburan, majalah, drama dan realiti, untuk memuaskan kehendak segmen sasaran. Antaranya ialah program realiti Idola Kecil danVersus; slot drama “Ratu” “Aurora,” “Skrin di 9”, “Mutiara Hati;” slot antarabangsa iaitu drama Korea “Chamsarang”, Korean movies “Saranghae” dan filem Hollywood “Movie Night” juga program eksperimental melalui slot “9X’, serta program hiburan seperti Galaksi, Hip TV, NLKO dan kartun Upin Ipin.
TV9 juga turut mengekalkan program-program keagamaan moden menerusi slot Raudhah seperti Tanyalah Ustaz, Tanyalah Ustazah, Semanis Kurma, Halaqah dan Safiyya. Malahan penjenamaan Raudhah turut melebarkan sayapnya dengan mengadakan acara padang yang diadakan di masjid-masjid terpilih seluruh negara melalui Raudhah di Hatiku.